Monday, April 5, 2010

PERISTIWA BERDARAH PENDUDUKAN JEPUN





Jepun mendarat di Pantai Padang Pak Amat sejurus selepas tengah malam 8 Disember 1941, dan mencetuskan pertempuran hebat di antara tentera India British dan tentera Jepun, hanya sejam sebelum berlakunya serangan ke atas Pelabuhan Pearl Harbour. Pertempuran itu merupakan detik rasmi permulaan Perang Pasifik serta merupakan permulaan sejarah pendaratan Jepun di Tanah Melayu. Pihak Jepun mengalami jumlah korban yang tinggi tetapi gelombang demi gelombang penyerang menyerbu ke pantai sehingga pihak British terpaksa berundur. Dari situ, mereka bergerak dan menawan lapangan terbang Kota Bharu. Pada masa yang sama, pihak Jepun menyerang Singapura, Hong Kong dan Pelabuhan Pearl Harbour melalui udara.
Pihak Jepun berjaya menawan Lapangan Terbang Sungai Patani, Butterworth dan Alor Setar pada 9 Disember 1941. Pada 10 Disember 1941, kapal tempur HMS Prince of Wales dan HMS Repulse bergerak di persisiran timur Tanah Melayu menuju ke arah tempat pendaratan Jepun yang dilaporkan di Kuantan. Tanpa perlindungan udara, pesawat Jepun menyerang dengan gelombang demi gelombang dan berjaya menenggelamkan kedua-dua buah kapal tersebut. Kehadiran Tentera Laut British dihapuskan dalam masa yang singkat. Tentera Jepun yang mendarat di Kota Bharu berpecah kepada dua bahagian. Salah satu bergerak ke arah Pantai Timur menuju ke Kuantan, dan satu lagi ke arah Selatan menuju Sungai Perak. Pada 11 Disember 1941, pihak Jepun mula mengebom Pulau Pinang. Jitra jatuh ke dalam tangan Jepun pada 12 Disember 1941, dan kemudiannya Alor Setar pada hari yang sama. Tentera British terpaksa berundur ke selatan. Pada 16 Disember 1941, pihak British meninggalkan Pulau Pinang kepada pihak Jepun yang mendudukinya pada hari yang sama.


Tentera Jepun mara ke selatan dan menawan Ipoh pada 26 Disember. Penentangan sengit terhadap kemaraan Jepun berlaku dalam Pertempuran di Kampar yang berlangsung selama tiga hari tiga malam di antara 30 Disember 1941 sehingga 2 Januari 1942 sebelum Tentera British terpaksa berundur. Pada 7 Januari 1942, dua pasukan Briged India Tentera British dipintas dalam pertempuran di Slim River yang memberikan tentera Jepun laluan mudah ke Kuala Lumpur, ibu negara Tanah Melayu. Pada 9 Januari, kedudukan pasukan British semakin terdesak dan Komander Jeneral Wavell memutuskan untuk mengundurkan keseluruhan Tentera British ke utara Johor, dan meninggalkan Kuala Lumpur yang ditawan tentera Jepun pada 13 Januari.

No comments:

Post a Comment