Monday, April 5, 2010

PERLUASAN KUASA JEPUN DI ASIA TENGGARA


Selepas muncul sebagai negara moden pada zaman Meiji (1868-1912) Jepun menjadi kuasa terkuat di Asia apabila golongan tentera menguasai politik Jepun pada tahun 1931. Bagi mengukuhkan proses pemodenan ekonomi, Jepun berhasrat menakluki negara-negara Asia Tenggara bagi mengatasi masalah kekurangan bahan mentah. Untuk itu Jepun telah menyebarkan dua Propaganda; Asia Untuk Orang Asia dan Lingkungan Persemakmuran Besar Asia Tenggara iaitu janji Jepun untuk memajukan ekonomi dan membebaskan negara-negara Asia Tenggara daripada penjajahan Barat. Jepun juga telah melakukan pengintipan di seluruh Asia Tenggara untuk mengumpul maklumat keadaan muka bumi dan sebagainya bagi memudahkan operasi ketenteraan dilancarkan. Pada tahun 1940, Konsul Jepun di Sandakan, Taniguchi telah melawat keseluruhan Borneo Utara, Brunei dan Sarawak untuk memilih tempat untuk angkatan tentera menyerang.

Kemusnahan pertahanan udara dan laut Amerika di Pearl Harbour dan Manila telah membolehkan Jepun mara ke Asia Tenggara tanpa halangan. Serangan ke atas Tanah Melayu bermula di Kota Bharu pada 8 Disember 1941. Menjelang 15 Februari 1941 seluruh Tanah Melayu dan Singapura telah jatuh ke tangan Jepun apabila Jeneral A.E Percival, Komander Tentera British di Singapura menyerah kalah kepada Jeneral Tomoyuki Yamashita, Komander tentera Jepun. Jepun telah mara ke Borneo melalui pangkalannya di Cham Ranh, Vietnam. Miri ditawan pada 16 Disember 1941. Diikuti Labuan dan Beaufort pada 1 Januari 1942. British gagal mempertahankan Borneo Utara kerana kelemahan pasukan pertahanannya, The North Borneo Armed Constabulary dan Angkatan Sukarelawan Bersenjata (dianggotai penduduk bumiputera, India, Cina dan Eropah). Tambahan pula Borneo tidak mendapat perlindungan udara dan laut daripada Tentera Bersekutu yang sibuk menghadapi serangan Jepun di Tanah Melayu, Singapura dan tempat-tempat lain.


No comments:

Post a Comment